Proses Penanaman Lada
Pemangkasan / Cantasan
Pokok lada hendaklah dicantas untuk menggalakkan pembentukan kanopi yang sesuai. Tiga pusingan pemangkasan disyorkan: pangkasan pertama ialah enam bulan selepas menanam untuk pengeluaran tiga pucuk utama. Pangkasan kedua adalah di peringkat 12–14 bulan apabila pokok lada mencapai ketinggian separuh tiang sokongan. Pangkasan terakhir dilakukan apabila pucuk utama mencapai bahagian atas tiang sokongan dan ini adalah seiring dengan masa pengeluaran buah yang pertama.
Pembajaan
Pokok lada memerlukan banyak bekalan nutrien. Penggunaan baja kimia adalah penting untuk pengeluaran hasil yang tinggi. Pengapuran juga perlu dilakukan untuk meningkatkan kandungan zat pemakanan Kalsium (Ca) dan Magnesium (Mg) serta untuk mengawal kemasaman (pH) tanah. Pokok lada muda perlu kerap dibaja dengan baja yang mengandungi nutrien utama Nitrogen (N), Fosforus (P) dan kalium (K). Pokok lada matang pula memerlukan bekalan nutrien dalam kuantiti yang banyak. Keperluan baja, komposisi nutrien dan jadual pembajaan untuk pokok lada yang matang dan belum matang telah dikaji. Gejala kekurangan nutrien dan keracunan juga telah dihuraikan.
Pengutipan hasil dan pemprosesan
Pokok lada lazimnya mengeluarkan hasil yang pertama pada awal musim hujan di tahun kedua penanaman. Pengutipan hasil dilakukan mulai bulan Mac hingga Ogos. Lada hitam dihasilkan dengan menjemur buah lada yang telah matang tetapi belum masak di bawah cahaya matahari. Lada putih diproses dengan merendam buah lada dalam air bersih yang mengalir untuk membuang lapisan isi buah (perikarpa) sebelum dikeringkan di bawah matahari. Untuk penghasilan lada putih, sagaran buah yang mempunyai banyak buah yang hampir masak digunakan.
Kawalan serangga dan penyakit
Banyak serangga perosak dan penyakit boleh menyebabkan kerosakan pada tanaman lada. Serangga perosak utama yang merosakkan pokok dan bunga lada ialah kumbang belalai (Lophobaris piperis) dan kepinding lada (Dicronocoris hewetii). Kumbang rokok (Lasioderma serricorne) juga boleh merosakkan biji lada semasa penyimpanan.
Penyakit yang biasa menyerang lada adalah disebabkan oleh kulat yang membiak dalam keadaan yang panas dan lembap. Penyakit yang perlu diawasi oleh pekebun lada ialah penyakit reput akar (Phytophthora capsici), penyakit buah hitam (Colletotrichum capsici, C. piperis dan C. gloeosporioides), penyakit cendawan angin (Corticium salmonicolor), penyakit hawar lembut (Septobasidium sp.), penyakit akar putih (Rigidoporus lignosus) dan penyakit kuning (disebabkan oleh gabungan serangan cacing nematod Radopholus dan kulat Fusarium solani).
Cacing nematod (Meloidogyne spp.) menyerang bahagian akar pokok lada. Penyakit daun keriting yang disebabkan oleh virus juga boleh menyerang pokok lada muda dan matang.
Kawalan perlindungan tanaman lada daripada serangga perosak dan penyakit dengan menggunakan bahan kimia menyebabkan kos pengeluaran lada meningkat.
Contoh pokok lada yang di serang kulat dan reput akar