Kaedah Penanaman Lada
PENANAMAN LADA
Di Sarawak, lada ditanam sebagai tanaman tunggal (monocrop) tanpa naungan terutamanya di kawasan lereng yang bercerun landai dan curam. Untuk kebun lada yang terletak di kawasan rendah dan mendatar, sistem parit perlu disediakan. Pokok lada ditanam di atas busut yang disediakan semasa penyediaan tanah. Secara tradisional, pekebun mengamalkan merumpai bersih kebun lada mereka. Amalan ini sering mengakibatkan hakisan tanah yang teruk, oleh itu pekebun lada kini digalakkan menanam tanaman penutup bumi.
Menanam di ladang
Masa yang paling sesuai menanam lada adalah di antara bulan Oktober hingga Disember. Bahan tanaman yang boleh digunakan ialah keratan tanpa akar, keratan berakar atau keratan dalam polibeg. Jarak antara tanaman yang disyorkan ialah 2.5m x 2.0m (2,000 pokok lada/hektar). Keratan yang baru ditanam perlu diberi naungan atau lindungan sehingga ia tumbuh dengan sempurna.
Tiang sokongan
Pokok lada yang masih muda dilatih untuk tumbuh memanjat pada tiang sokongan. Secara tradisional, tiang kayu belian digunakan sebagai sokongan. Walau bagaimanapun, hasil kajian telah mendapati tiang sokongan hidup daripada pokok jenis kekacang (contohnya Gliricidia sepium dan Erythrina indica) sesuai digunakan sebagai tiang sokongan alternatif
No comments:
Post a Comment